INSTITUSI KELUARGA PENCETUS MASYARAKAT
BERINTEGRITI
Disediakan oleh : Fakhrurrazi Bin Yusof[1]
Pendahuluan
Institusi Keluarga terbina dari jalinan perkahwinan yang kemudiannya menjadi kelompok kecil dalam sistem sosial manusia. Ia dianggap unit terpenting dalam sesebuah masyarakat yang akhirnya berkeupayaan membentuk sebuah tamadun. Dalam erti kata lain, jika baik acuan dalam sesebuah keluarga, maka akan baiklah masyarakatnya, tetapi jika sebaliknya, maka akan hancurlah masyarakat tersebut. Justeru, pembentukan institusi kekeluargaan merupakan teras atau tulang belakang kepada pembentukan masyarakat yang lebih besar.
Sememangnya telah menjadi lumrah dalam kehidupan berkeluarga atau berumahtangga, setiap individu yang terlibat mempunyai matlamat yang sama iaitu mencapai kebahagiaan. Ini kerana secara fitrah tidak ada seorang pun yang sanggup meletakkan penderitaan, penindasan dan kegagalan sebagai matlamat hidup mereka.. Menurut al-Shaikh Khalid dalam kitabnya Adab al Hayah al Zawjah, perkahwinan yang dilakukan bukan sekadar untuk kepuasan nafsu, tetapi untuk mencapai ketenangan jiwa dan hati (bahagia).[2]
Walaupun kebahagiaan bukan sesuatu yang boleh dijelaskan dengan kata-kata, penampilan mimik muka yang ceria atau seumpamanya lantaran dari sifatnya yang abstrak, namun ia boleh digambarkan melalui nilai-nilai yang mampu mencetuskan rasa kasih sayang (mawaddah), kepuasan, bersyukur, keharmonian dan rasa tanggungjawab yang diadaptasikan oleh setiap ahli dalam sesebuah keluarga. Melalui hakikat inilah, maka unsur material seperti kekayaan harta benda dan pangkat kedudukan bukan lagi menjadi satu keutamaan dalam mencapai bahagia sekiranya unsur kejiwaan yang lahir daripada hati tidak diurus dengan baik.
Penggubalan Pelan Integriti Nasional (PIN) yang akhirnya dilancarkan pada 24 April 2004 merupakan kesinambungan yang amat baik dalam memberi fokus terhadap kepentingan institusi keluarga ketika mencapai wawasan Negara. Gerakan pemantapan tersebut memberi tumpuan kepada peningkatan integriti dari peringkat akar umbi hingga ke peringkat atasan. Kesemua komponen dilibatkan, iaitu keluarga, komuniti, dan masyarakat sivil (yang di dalamnya terdapat pelbagai badan bukan kerajaan), membawa kepada sektor agama, sosiobudaya (pendidikan, kesihatan, sukan dan rekreasi, media massa, seni, sastera dan warisan), ekonomi, politik dan pentadbiran. Dengan demikian, gerakan ini benar-benar bersifat menyeluruh dengan meliputi semua lapisan dan sektor negara dan masyarakat. Malah, apa yang menarik ialah pelan tersebut mensasarkan aspek pemantapan institusi kekeluargaan melalui pengukuhan daya tahan dalam diri setiap ahli keluarga yang terlibat dan akhirnya menjurus ke arah kebahagiaan.[3] Meskipun, ia lebih dilihat sebagai suatu azam atau tekad dalam tempoh lima tahun pertamanya (2004-2008), namun pensasaran matlamat tersebut telah memberi isyarat kepada warga Malaysia untuk merealisasikannya.
Integriti dalam keluarga
Walaupun integriti tidak dihurai secara terperinci dari sudut tafsiran bahasa Melayu, namun kejujuran, ketulusan, kesempurnaan dan keutuhan sepertimana yang dinyatakan dalam Kamus Dwibahasa DBP 1985 menunjukkan ia mengambil kira aspek dalaman (kejiwaan) dan juga luaran (perangai). Menurut Islam, integriti dilihat lebih cenderung kepada penghayatan akhlak dan ia perlu dihayati oleh setiap penganutnya.[4] Malah fahaman atau anutan lain juga tidak mengasingkan elemen kemanusiaan tersebut dari skop moral dan etika.[5] Sesebuah keluarga yang berintegriti adalah keluarga yang berpegang kepada prinsip kejujuran, keikhlasan, kebertanggungjawaban dan keadilan. Justeru sebuah keluarga yang lahir daripada perkahwinan dilihat telah mencernakan nilai mulia dalam diri pihak yang terlibat kerana ikatan perkahwinan itu sendiri memperlihatkan sifat bertanggungjawab dan ikhlas dalam perhubungan.
Dalam erti kata lain, keluarga yang diselubungi dengan unsur konflik, kedukacitaan dan konfrantasi sesama ahlinya belum selayaknya dianggap berintegriti selagi mana ia tidak diselesaikan secara hikmah. Isu-isu perceraian, pengabaian tanggungjawab kekeluargaan, keganasan rumahtangga, penderaan kanak-kanak, penderhakaan terhadap ibu bapa dan ketidaksopanan kepada warga tua adalah situasi jelas yang sepatutnya menjadi matlamat pengintegritian sesebuah keluarga dan seterusnya kepada seluruh masyarakat dalam sesebuah negara.
Selain itu, permasalahan yang wujud dalam hubungan kekeluargaan seperti mana yang telah dinyatakan sebelum ini, seharusnya mendapat perhatian setiap warga masyarakat di negara ini. Kes-kes kebobrokan rumahtangga dan pengabaian keluarga bukanlah isu baru yang menjadi buah mulut masyarakat di negara ini. Bahkan ia dianggap perkara biasa yang kadangkala menjadi hangat apabila melibatkan tragedi seperti kematian atau penganiayaan yang menyentuh perasaan. Sedangkan, semasa isu hangat diperkatakan, masyarakat menjadi marah dan pelbagai pihak menampilkan diri melahirkan rasa simpati dan sebagainya. Namun, lama-kelamaan berita yang hangat itu akan kembali dingin dan masyarakat mulai lupa dengan peristiwa yang berlaku sehinggalah timbulnya kes-kes baru yang kembali menghangatkan suasana. Demikianlah kitaran peristiwa yang sering berlaku jika sesuatu isu dibangkitkan. Dalam konteks ini kelemahan pelbagai pihak termasuk ahli dalam masyarakat tersebut akan terus bertambah lantaran daripada pertambahan isu dan masalah yang wujud di dalam institusi kekeluargaan yang menjadi teras pembangunan negara. Seorang pemikir pernah menyebut bahawa "setiap orang hari ini nampaknya terlalu rakus, sibuk mengejar kemajuan dan mempunyai keperluan yang tinggi. Anak-anak mempunyai masa yang sedikit untuk ibu bapa dan ibu bapa "mempunyai masa yang sedikit untuk sesama mereka. Di rumahtangga bermulanya kekalutan kepada kebahgiaan dunia.(Mother Teressa ).[6]
Pemupukan nilai kekeluargaan yang murni di kalangan ahli keluarga melalui semangat kebersamaan seharusnya dilakukan agar setiap ahli dalam keluarga memahami tanggungjawab masing-masing dalam mengekalkan kesejahteraan keluarga. Semangat kebersamaan ini secara tidak langsung mendorong mereka untuk mempertahankan prinsip dan budaya positif keluarga yang sedia terjalin. Contohnya, seseorang ahli keluarga tidak akan melakukan perbuatan yang bertentangan dengan budaya keluarga sekiranya semangat kebersamaan wujud di dalam diri mereka. Bak kata pepatah Melayu yang berbunyi "cubit peha kanan, peha kiri juga akan merasa sakitnya". Dalam hal ini, sentimen menjaga maruah dan budaya keluarga juga wajar dititik beratkan untuk memantapkan lagi nilai yang terkandung di dalam integriti masyarakat. Oleh sebab itu, keutamaan perlu diberi kepada institusi keluarga dalam mengintegritikan masyarakat sebelum tumpuan diberi kepada skop yang lebih luas. Antara pendekatan yang boleh diambil ialah dengan mengiktiraf kelompok keagamaan sebagai kelompok sosial yang mengamalkan sistem nilai dan cara hidup tersendiri selaras dengan situasi masyarakat majmuk dan kepelbagaian agama tanpa menjejaskan intipati perlembagaan Negara. Ia memenuhi maksud prinsip rukun negara pertama yang mengakui bahawa kuasa Tuhan melebihi sebarang kuasa lain. Walaupun Islam diiktiraf sebagai agama Persekutuan, namun ia bukan penghalang kepada penganut agama lain untuk berpegang kepada ajaran agama yang mempunyai galakan sifat mulia.
Sememangnya soal intregriti tidak boleh dipisahkan dengan penghayatan nilai-nilai murni yang ditonjolkan oleh individu yang terlibat. Peranan keluarga tidak wajar hanya dilihat kepada pembinaan jasmaniah sahaja kerana ukuran rohani juga perlu diberi perhatian. Sekiranya, masyarakat hilang pegangan rohaninya, maka matlamat untuk melahirkan generasi berintegriti akan menjadi sia-sia. Bahkan, keluargalah yang banyak memainkan peranan membina watak dan wawasan individu yang lahir ke dunia ini. Beberapa faktor boleh menjadi pendokong kepada penghayatan integriti dan ia perlu dibimbing melalui peranan institusi keluarga. Menurut konfusius, "Untuk membentuk dunia pada aturannya, kita mesti membentuk bangsanya, untuk membentuk bangsa, kita mesti terlebih dahulu membentuk keluarga, kita mesti membentuk diri sendiri mempunyai hati yang murni."
Faktor kejujuran, keterbukaan dan kebenaran adalah asas kepada pembinaan keluarga bahagia. Ia merupakan elemen integriti yang membuatkan setiap ahli dalam keluarga merasa selamat dan terjamin. Dalam hal ini unsur-unsur kesangsian dan prasangka tidak akan timbul apatah lagi sifat saling percaya mempercayai telah dapat disemai dengan sebaiknya. Apabila hubungan perasaan tersebut telah wujud , maka tumpuan ke arah pembinaan nilai kekeluargaan yang lain dapat dicapai dengan lebih mudah. Individu yang dididik dengan kejujuran terdorong bersikap amanah dan boleh dipercayai. Justeru, sikap amanah yang wujud itu seterusnya menyerap ke setiap aspek kehidupan. Malah kejujuran dan kebenaran tersebut akan membentengi segala bentuk pendustaan , kekorupan dan kejumudan peribadi. Anak yang dididik untuk bercakap benar akan merasa kekok untuk berdusta, manakala suami isteri yang jujur dan amanah tidak akan selesa untuk mengkhianati pasangannya. Demikianlah penghayatan yang diperlukan untuk membentuk generasi yang benar-benar mantap dengan cirri-ciri keunggulan. Sifat keterbukaan dan rasional lazimnya akan muncul daripada elemen jujur dan amanah yang berupaya melancarkan proses pendidikan dan pentarbiahan. Lanjutan itu, faktor keikhlasan turut diperlukan dalam mencetus integriti dalam diri masyarakat yang semakin galak mengejar kemajuan material. Keikhlasan merekodkan prinsip unggul dengan tidak mengutamakan habuan dan balasan. Individu yang berpegang kepada prinsip ini akan terhindar daripada sikap mementingkan diri lebih daripada keutamaan lain dalam melaksanakan amanah yang diberi. Terapan sifat sedemikian dalam diri anak-anak dan ahli keluarga yang lain amat wajar didahulukan agar mereka sedar dengan tanggungjawab mereka yang lebih besar dalam masyarakatnya.
Integriti tidak sekali-kali terpengaruh dengan unsur-unsur kebendaan yang didorong oleh hawa nafsu atau kehendak yang melulu. Atas dasar itu, ia tidak dapat lari dari faktor akauntabiliti (kebertanggungjawaban) yang perlu dimiliki oleh setiap masyarakat. Dalam konteks ini, kemerosotan nilai moral dan sifat mementingkan kebendaan juga menyumbang kepada kehakisan rasa bertanggungjawab dalam diri seseorang walaupun ketika berada dikelompok yang paling kecil. Akauntabiliti atau tanggungjawab merupakan satu tugas dan kewajipan yang mesti dilaksanakan dengan sebaiknya tanpa wujud perasaan yang negatif. Atas dasar inilah, maka kerajaan telah berjuang dan komited untuk menerapkan budaya akauntabiliti kepada seluruh masyarakat di negara ini melalui Pelan Integrasi Nasionalnya.[7] Hakikat akauntabiliti perlu difahami dan didedahkan sejak awal lagi kerana ia bukan sahaja melibatkan urusan atau hak yang berkaitan ketuhanan (keagamaan), malah ia juga berkaitan dengan kepentingan orang lain. Penerapan akauntabiliti dalam diri akan mendorong seseorang merasa wujudnya suatu kewajipan dan ia melaksanakannya. Menurut Hamka dalam bukunya Pribadi , beliau menjelaskan bahawa "manusia yang bekerja kerana didorong rasa wajib, akan gembira mengerjakan pekerjaannya itu. Rasa wajib itu dengan sendirinya memaksa diri supaya berjalan terus dan lupus."[8] Oleh itu, menunaikan amanah dengan kesedaran terhadap tanggungjawab akan menghasilkan natijah yang positif. Walaupun, pekerjaan yang dilakukan tidak mendapat sanjungan, Namur kepuasan diri dalam melaksanakan tanggungjawab itu lebih berharga dari yang lainnya. Begitu juga halnya, dalam konteks kekeluargaan , rasa tanggungjawab terhadap agama, keluarga, bangsa dan negara yang disemai dalam diri anak-anak atau ahli yang lain mampu menghindarkan unsur pengkhianatan dan pencemaran maruah. Secara tidak langsung ia juga membantu proses "Sustainable Family" (Keluarga mampan) dalam zaman yang semakin mencabar.
Dari satu sudut, kekacauan, ketegangan dan kerosakan moral dalam masyarakat kebiasaannya tercetus daripada kesan ketidakadilan. Umumnya, sifat dominasi (bossy) banyak mendorong seseorang melakukan perkara yang dapat mengekalkan kedudukan atau keselesaan yang dikecapinya. Apatah lagi jika ia dituntun oleh sifat tamak, pentingkan diri dan nafsu yang tidak terkawal. Lantaran itu, tidak hairanlah timbulnya berita-berita sensasi yang berkaitan dengan kepincangan etika dan disiplin di kalangan masyarakat. Secara lazim, apabila munculnya nilai ketidakadilan, maka ia akan memaparkan jurang pembeza di antara pihak-pihak terlibat kerana ia telah menjejaskan keseimbangan dalam pemerolehan hak. Dalam hal ini, pihak yang tertindas akan melakukan sesuatu yang dianggap dapat mengembalikan hak mereka, sedangkan satu pihak lagi akan terus mempertahankan dominasi mereka. Justeru, penerapan ilmu dan kesedaran tentang hal sedemikian bukanlah sekadar disampaikan secara teori sahaja kerana seharusnya ia dititikberatkan seawalnya di dalam keluarga agar pendirian yang adil serta sikap yang selaras dengannya dapat dipegang erat oleh setiap individu. Malah, pengagihan secara adil tanggungjawab, bebanan dan habuan di kalangan ahli keluarga boleh dipraktikkan secara konsisten tanpa memilih kasih. Walaupun adakalanya situasi sedemikian dilihat agak subjektif, namun sekurang-kurangnya ia menjadi salah satu bentuk didikan keluarga yang baik untuk diadaptasikan oleh ahlinya ketika berinteraksi dengan masyarakat. Apatah lagi jika mereka terlibat dengan pelbagai lapangan hidup seperti kerjaya, sosial, muamalat dan seumpamanya sama ada sebagai pemimpin mahupun pengikut. Hakikat ini boleh dinilai sebagai intipati pengajaran hidup yang ditampilkan oleh setiap anutan atau kepercayaan terutamanya Islam yang dapat dilihat melalui firman Allah s.w.t yang bermaksud ;
"Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya." (An-Nahl ayat 90)
Cabaran
Walaupun, dunia sedang diledakkan dengan suasana peringkat makro dan antarabangsa, globalisasi dan ledakan teknologi maklumat , namun, dalam mengharungi era tersebut, sememangnya negara tidak boleh lari daripada berhadapan dengan anasir-anasir negatif yang cuba mencemarkan nilai-nilai dan budaya murni yang sekian lama dipertahankan. Proses urbanisasi dan transformasi ekonomi dalam pembangunan negara yang pesat ini telah meninggalkan kesan ke atas sistem masyarakatnya termasuk institusi kekeluargaan. Arus pemodenan yang diaktifkan melalui pelbagai teknologi dan permainan massa telah menyebabkan terhakisnya sistem nilai dan amalan murni masyarakat di Malaysia. Namun, penghakisan sistem nilai dan amalan murni ini tidak wajar dibiarkan sehingga mengugat pencapaian dan perkembangan ekonomi negara. Justeru, cabaran ini harus dilihat sebagai tanggungjawab yang perlu dipikul secara proaktif dan bukannya masalah yang melemahkan. Dari sudut tersebut, pembangunan budaya, sosial, intelek dan kerohanian juga dilihat amat penting dalam menentukan kejayaan sesebuah negara.
Keutuhan budaya dan moral merupakan satu daripada pendekatan yang relevan untuk mencapai wawasan negara. Malah, ia turut termaktub di dalam gagasan Islam Hadhari yang telah mendapat perhatian kepimpinan negara pada masa kini. Justeru, pihak kerajaan secara bersepadu telah mengaplikasikan pendekatan tersebut berdasarkan kepada senario semasa di mana masyarakat di negara ini sedang diancam oleh kebejatan akhlak, moral dan hakisan budaya. Walaupun sebahagian masyarakat menganggap piawai moral manusia adalah satu yang universal dan telah diakui semenjak dahulu lagi, realitinya, kebaikan dan kejahatan bukanlah suatu lagenda kerana ia sesuatu yang boleh difahami dan diakui secara normal melalui kesedaran yang tertanam dalam fitrah kejadian manusia. Oleh itu, penularan budaya songsang perlu disekat seawalnya melalui peranan yang dimainkan oleh setiap individu dalam institusi keluarga agar agenda integriti dapat dilaksanakan dengan lancar. Dengan berpaksikan prinsip hidup yang kental, setiap penyakit moral masyarakat dapat diubat. Seorang penyair terkenal bernama Shauki pernah membibitkan puisinya yang berbunyi, " Sesungguhnya sesuatu umat itu tidak lain melainkan budi pekerti, selama budi pekerti itu ada, maka adalah umat. Dan jika budi pekerti itu lenyap, maka lenyaplah umat."[9]
Dalam menghadapi cabaran yang mendatang, pelbagai pendekatan perlu dilakukan untuk mengatasi dan mengurangkan tekanan ketika berjuang memantapkan integriti masyarakat. Institusi kekeluargaan yang menjadi teras kepada pembangunan masyarakat seharusnya tidak hanya tertumpu kepada tindakan zahir semata-mata, kerana pengurusan hati yang baik berupaya menyelesaikan sebahagian besar permasalahan yang timbul. Fitrah manusia sentiasa menghargai keazaman, kesungguhan dan keberanian tetapi tidak akan menyanjungi mereka yang bersifat tidak sabar, tidak tetap pendirian dan penakut. Bermaruah, bersopan dan mesra sememangnya telah diakui sebagai sifat-sifat murni manakala sombong dan kasar dikira sebagai nilai-nilai yang negatif. Individu yang memiliki ciri-ciri kebertanggungjawaban dan dedikasi kepada tugasnya, selalunya diberi pengiktirafan, manakala yang tidak berkebolehan, malas dan kurang rasa tanggungjawab tidak akan diterima dengan senang hati. Oleh yang demikian, kecelaruan yang sering berlaku di dalam hati perlu diurus dengan sebaiknya agar segala tindak tanduk yang lahir daripadanya tidak cenderung ke arah yang negatif. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak, rosak pulalah seluruh badan, Ingatlah ia adalah hati".[10]
Mensasarkan kebahagiaan sebagai agenda hidup sememangnya penting kepada setiap insan. Ia menjadi suatu matlamat yang berterusan sama ada di dunia mahupun di akhirat. Sejarah telah membuktikan bahawa ada orang yang sanggup bersusah payah dan bermati-matian untuk mencari kebahagiaan. Hal ini kerana mereka yakin bahawa kegagalan mendapat kebahagiaan akan membawa kepada kekecewaan. Namun kekecewaan yang tidak disokong oleh pertimbangan yang waras, akhirnya terdorong melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Dalam keadaan ini, mereka yang terlibat memerlukan suntikan rohani untuk kembali kepada pertimbangan yang lebih adil.
Penentuan kebahagiaan yang dicoretkan melalui faktor sikap, kedudukan dan fahaman seseorang terhadap kebahagiaan pula perlu difahami dengan baik. Sememangnya barat telah memperkenalkan pelbagai bentuk falsafah hidup untuk dituruti oleh pengikutnya, namun kebanyakkannya menjurus ke arah material semata-mata tanpa menitikberatkan nilai kemanusiaan.[11] Matlamat dan tujuan hidup yang diserapkan melalui sistem pendidikan mereka seolah-olah menafikan unsur kejiwaan yang sepatutnya lahir dari hati yang tulus. Sehubungan itu, wujudlah golongan yang beranggapan bahawa kebahagiaan boleh dicapai dengan adanya harta dan wang ringgit yang banyak sehingga sanggup melakukan kezaliman atau penindasan untuk memperolehinya. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan sebenar ialah kaya hati.”[12]
Daripada hadith tersebut, sewajarnya harta benda tidak dijadikan ukuran kebahagiaan seseorang, kerana kebahagiaan itu sebenarnya terletak di hati. Oleh sebab itu, hati perlu diurus dan diberi haknya, agar sifat-sifat mulia dan terpuji akan lahir seperti amanah, bersyukur, sangka baik, sabar dan sebagainya. Salah satu cara mengurus hati ialah dengan membetulkan niat dalam merancang atau melakukan sesuatu tindakan. Setiap individu perlu melatih dan mendorong hatinya supaya sentiasa berniat baik dan inginkan sesuatu yang baik. Latihan sedemikian dapat menjadikan seseorang itu bersifat positif dan optimis dalam melakukan sesuatu. Islam telah meletakkan faktor demikian sebagai teras dalam pembangunan insan sama ada dalam bentuk perhubungan dengan Tuhannya ataupun sesama manusia melalui penghayatan amal soleh yang menjurus ke arah kejayaan dan kebahagiaan hidup. Dalam ertikata lain, orang yang bersih jiwanya sentiasa mempunyai tujuan yang baik dan kecintaan yang tinggi untuk berbakti tanpa diiringi oleh sifat hasad dengki, dendam, iri hati, takabur dan penyakit rohani yang lain. Malah kemurnian rohani yang dibina juga dapat membentuk diri seseorang untuk menerima kebenaran sekalipun ia bertentangan dengan kepentingan dirinya dan meyakini bahawa kebenaran pasti membawa kepada kebaikan. Ini menepati maksud firman Allah dalam surah al-Mukminun ayat 1-11 yang bermaksud;
"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu). Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas. Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya." (al-Mukminun ayat 1-11)
Ketandusan ilmu juga menjadi cabaran yang amat mendesak untuk diberi perhatian. Dalam kesibukan masyarakat mengejar kemajuan dan kemewahan, faktor keilmuan tidak wajar dipisahkan dalam apa jua keadaan. Hakikat tersebut sememangnya tidak dapat dinafikan kerana ilmu dan pendidikan dianggap senjata ampuh dalam mendepani pelbagai cabaran membentuk masyarakat berintegriti. Gong Fu Zi (Cofucius) telah menjelaskan bahawa, "Apabila kamu mengetahui sesuatu, meyakinkan yang kamu telah tahu, dan apabila kamu tidak mengetahui sesuatu, menunjukkan yang kamu tahu.". Kenyataan tersebut bermaksud dengan adanya ilmu dan pendidikan, ia dapat membantu individu dalam membezakan sesuatu perkara yang baik atau buruk agar setiap tindakan yang menyusul tidak menyalahi apa yang sepatutnya. Hal yang demikian juga selaras dengan objektif pembangunan modal insan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi seperti mana katanya ;
“Pembangunan modal manusia menjadi sangat penting kepada negara pada masa depan dan mereka ini mestilah berkualiti, kualiti bukan sahaja dari segi pendidikan, kepakaran tetapi juga dari segi nilai moral yang tinggi, bertanggungjawab dan mengutamakan nilai-nilai murni dalam kehidupan”[13]
Walaupun, pendidikan di Malaysia sedang mengalami proses reformasi yang amat pesat dan penumpuan terhadap bidang sains, manakala teknik semakin menjadi keutamaan di setiap peringkat pendidikan,[14] namun, menjadi suatu kewajaran melihat kepada wawasan negara yang ingin membangunkan generasi berketerampilan, berilmu dan bersahsiah mulia. Pendidikan tidak formal terutamanya terhadap anak-anak oleh ibu bapa yang bermula dari rumah meliputi bimbingan, muhasabah dua hala dan pemantauan berterusan untuk meningkatkan etika dan peranan mereka perlu dilaksanakan oleh setiap keluarga. Pembangunan nilai berasaskan agama atau moral perlu ditanam dalam institusi keluarga sama ada ia melibatkan anak-anak, ibubapa atau sebagainya agar proses pendidikan dan pentarbiahan mampu mengimbangkan keperluan material dan juga spiritual. Keseimbangan yang telah wujud akhirnya menzahirkan integriti dalam diri seseorang yang juga menjadi keperluan dalam sesebuah negara dan ia perlu dijalin bersama dengan faktor moral dan peradaban manusia[15]
Sehubungan itu pula, faktor moral dan peradaban yang boleh diperolehi daripada peranan yang dimainkan oleh ahli keluarga itu juga berupaya mendominasi pembentukan masyarakat berintegriti. Walaubagaimana pun, pengaruh persekitaran dan proses pengajian formal yang dipandu oleh jadual dan kurikulum tertentu juga relevan dalam membentuk masyarakat bertamadun. Kehidupan yang berteraskan agama mesti diterapkan kepada keseluruhan ahli keluarga bagi menjamin kemantapan akidah atau jati diri yang sempurna. Kisah-kisah kejatuhan dan kemusnahan tamadun manusia wajar diteladani kerana jika ia diabaikan, ditakuti masyarakat kini akan lupa dan seterusnya menerima nasib seperti umat-umat terdahulu. Firman Allah s.w.t yang bermaksud ;
" Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (Al-Qashas ayat 77)
Sememangnya nilai baik dan etika hidup sihat perlu menjadi budaya kehidupan sesebuah institusi keluarga. Selain ilmu , nilai yang juga terbit dari himpunan prinsip membantu individu berperanan membezakan perkara yang baik dan buruk. Manakala, dalam masyarakat, nilai terbentuk berdasarkan tradisi keagamaan dan pengalaman akal budi manusia. Dalam konteks ini, setiap individu wajar memahami rasional pembentukan nilai bermula dari keluarga. Contohnya, hidup seseorang dicorak atau diwarnai oleh ibubapanya, manakala persekitaran yang diterbitkan dalam suasana keluarga berupaya mempengaruhi cara dan gaya hidup anak-anak tersebut. Oleh sebab itu, pembentukan nilai berlangsung secara semulajadi melalui pengaruh yang wujud.
Hubungan kekeluargaan yang sedia ada bukan sekadar memenuhi tuntutan kejiwaan sahaja kerana ia menuntut agar dijadikan platform untuk saling melengkapi antara satu sama lain. Pemurnian sikap dan tingkahlaku dalam proses melengkapi tersebut akan lebih mudah dihayati walaupun ia tidak dipaparkan dalam bentuk teori. Malah penghayatan tersebut mengambilkira keseluruhan aspek kehidupan, dan masyarakat harus berganding bahu untuk berusaha mencapai tahap kehidupan yang serba melengkapi. Amalan melengkapi tersebut mengguna pakai cara hidup yang bersopan-santun dan berbudi pekerti mulia di sanping penerapan yang bermula dari rumah hingga ke pelbagai peringkat lapangan. Seseorang tidak akan membiarkan orang lain merana jika semangat lengkap melengkapi wujud di dalam diri mereka. Oleh sebab itu, pelbagai aktiviti kesukarelawanan dan kebajikan yang sering dipergiatkan di negara ini mendapat sokongan yang menggalakkan lantaran dari kesedaran yang timbul di kalangan masyarakat. Secara tidak langsung ia menjadi nilai tambah kepada kehidupan yang lebih berkualiti.
Faktor komunikasi dan ketelusan sebagai punca kepupusan nilai integriti telah lama diperkatakan oleh pelbagai peringkat masyarakat di dunia ini. Pembaharuan dan perubahan yang sedang dialami oleh masyarakat kini lebih cenderung dilihat sebagai akibat daripada pembangunan teknologi dan ekonomi yang pesat. Hasil daripada keadaan tersebut, maka ia telah meninggalkan pelbagai kesan yang positif. Namun pembaharuan ini kadangkala boleh menjejaskan nilai-nilai murni manusia dan institusi sesebuah keluarga. Halangan komunikasi secara interpersonal di antara ahli keluarga boleh menyebabkan kurangnya perhatian dan kasih sayang. Keadaan yang mungkin didorong oleh kesibukan atau komitmen kerjaya yang keterlaluan telah banyak membuka ruang kepada konflik yang lebih besar. Kes-kes jenayah, budaya lepak , vendalisme, penipuan dan sebagainya yang sering dikaitkan dengan golongan remaja merupakan rentetan daripada komunikasi dan ketidak telusan yang ditonjolkan sesama ahli keluarga. Akhirnya, permasalahan yang timbul daripada keluarga akan merayap ke dalam masyarakat sehingga kekuatannya menjadi semakin malap. Dalam konteks ini, sudah tentu kemewahan harta benda tidak boleh dijadikan galang gantinya kerana ia bukan lagi menjadi keperluan yang utama.
Oleh yang demikian, proses komunikasi keluarga sewajarnya mendapat tempat dalam diri setiap ahli di dalam keluarga. Tanpa elemen tersebut, ia membantutkan komitmen seseorang sebagai ahli keluarga yang sememangnya telah dipertanggungjawabkan menghasilkan suasana harmoni. Dalam hal ini, bersatu dalam hubungan komunikasi yang baik adalah satu komitmen yang lebih menjurus ke arah pembentukan keluarga. Ini kerana dalam hal penyampaian maklumat atau nasihat, penyelesaian masalah dan perkara-perkara yang berhubung dengan kekeluargaan perlu melalui proses komunikasi yang baik dan berkesan. Sekiranya aspek tersebut terabai, sudah pasti peranan institusi keluarga sebagai pencetus masyarakat berintegriti akan menjadi lompang dan tidak sempurna.
Selain daripada itu, pembudayaan akhlak mulia dan kesedaran sivik turut diperlukan dalam meneruskan agenda yang dititipkan dalam Pelan Integriti Nasional. Keperluan ini lebih cenderung ke arah penghayatan nilai yang memerlukan ia dipraktikkan dalam setiap pergerakan dan aktiviti kekeluargaan mahupun personal oleh setiap individu . Walaupun slogan Cemerlang, Gemilang dan Terbilang dilaungkan disana sini, namun ia tidak memadai sekiranya konsep tersebut tidak dihayati dengan betul dan menyeluruh. Pastinya sebuah negara maju yang tidak dilandaskan dengan asas-asas pembangunan moral dan pekerti mulia, ia tidak mampu bertahan lama dan sebaliknya bakal hancur dan tumbang. Melalui rentetan sejarah dunia, terdapat empayar-empayar besar serta maju meniti kemunduran lantaran kekangan dan keruntuhan akal budi yang menyebabkan ketamadunannya tidak dapat dipertahankan. Peradaban dan tamadun yang dibangunkan dengan mengambil masa yang lama, akhirnya mudah diruntuhkan oleh generasi terkemudian dengan perilaku buruk seperti lupa daratan, mengadu domba, berpecah belah dan bersengketa sesama sendiri.[16] Meskipun proses pembangunan tersebut memakan masa yang panjang, namun kejayaan dan kecemerlangan perlu terus diusahakan agar matlamat memegang status negara maju dapat dicapai dalam erti kata sebenarnya.
Pembinaan bangsa berpekerti mulia juga merupakan proses berterusan yang menjadi pewarisan dari generasi ke generasi. Ibu bapa mengajar anak-anaknya menjadi baik dan anak-anaknya mengajar cucu-cucunya supaya menjadi insan yang lebih baik. Kempen kepimpinan melalui teladan yang dilancarkan pada 1983 masih relevan disahut walaupun pada peringkat kepimpinan keluarga. Konsep role model atau kepimpinan melalui tauladan yang ditampilkan oleh ketua keluarga mampu membentuk keperibadian ahli-ahlinya. Meskipun,ia difahami melalui proses observasi, namun persepsi yang diperolehi berupaya menpengaruhi ahli keluarga yang lain dalam konteks kehidupan mereka. Secara tidak langsung pembawaan akhlak mulia yang dibekalkan melalui pembudayaan yang ditampilan oleh idola mereka di rumah akan tergarap ketika berhubung dengan masyarakat. Contohnya, seseorang tidak akan menuding jari untuk mencari kesalahan orang lain jika mereka telah dididik dengan sikap amanah dan konsisten dalam melaksanakan tanggungjawab. Maka, di sinilah jati diri yang mula dipupuk di dalam institusi keluarga berupaya mempengaruhi kekuatan dan keunggulan sesebuah masyarakat yang berdaya saing dan berintegriti.
Strategi Pemantapan Keluarga
Sememangnya tidak dinafikan bahawa integriti ialah kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan dinilai menerusi perpaduan individu dalam sesebuah keluarga. Ia juga berkaitan dengan etika yang berlandaskan cerminan dalam tindakan sehari-hari. Justeru dengan wujudnya pelbagai bentuk ancaman budaya negatif dan sistem sosial yang sering tergugat, maka beberapa strategi pemantapan seharusnya dilaksanakan agar masyarakat tidak terus menjadi mangsa keadaan. Walaupun begitu, usaha ini perlu dilaksanakan secara kolektif melalui kesedaran dan kekuatan yang wujud dalam diri sendiri. Menurut Raja Nazrin Shah dalam titahnya yang berbunyi, "Sedarlah ! Apabila sesuatu bangsa memilih untuk merendahkan bangsanya sendiri, akan terbukalah jendela yang memberanikan bangsa lain untuk menghinanya. Lalu bangsa akan dipandang fakir dan adat budayanya bakal tersingkir. Apabila kekurangan begitu cepat ditafsirkan sebagai kelemahan, maka padi mula dikatakan lalang, beras pula disangka pasir…"[17]
Salah satu strategi yang boleh diusahakan adalah melalui penggabungan prinsip keluarga Sakinah, Mawaddah dan Rahmah. Menurut Imam Fakhr al-Razi, Sakinah, Mawaddah dan Rahmah merupakan hubungan kejiwaan yang wujud dari fitrah kemanusiaan.[18] Walaupun yang demikian, prinsip Sakinah lebih menjurus ke arah ketenangan, aman dan damai iaitu dalam konteks yang lebih luas, ia terhindar dari unsur-unsur konflik dan masalah sama ada dari segi fizikal, minda ataupun psikologi. Manakala, prinsip Mawaddah menekankan perasaan kasih sayang, mencintai dan ingin bersama. Ia lahir daripada manifestasi sakinah yang sedia wujud dalam sesebuah keluarga.[19] Rahmah pula lebih tertumpu kepada rasa belas ihsan dan saling memerlukan selaras dengan keperluan prinsip mawaddah yang lahir daripada suasana sakinah dalam sesebuah keluarga.[20] Dalam erti kata yang lebih jelas, ketiga-tiga prinsip tersebut menepati segala bentuk keperluan dalam sesebuah keluarga dan ia boleh direalisasikan melalui pelbagai bentuk budaya dan amalan keluarga yang positif.
Dalam hal ini, persepakatan dan semangat kepunyaan (sense of belonging) adalah perkara yang amat penting dalam membangunkan sesebuah keluarga yang berpegang kepada prinsip sakinah, mawaddah dan rahmah. Jika keluarga dianggap sesuatu yang paling berharga, maka sudah tentulah ia tidak akan dibiarkan hanyut tanpa haluan. Justeru, pengurusan dan pimpinan keluarga dilihat amat penting dalam mencapai matlamat bahagia. Walaupun keluarga tidak mewujudkan koordinasi atau susunan rancangan tindakan lantaran dari sifatnya yang mikro, namun pimpinan keluarga berupaya membentuk ahli-ahlinya melalui pendekatan yang lebih kreatif, inovatif dan tersendiri tanpa menjejaskan norma-norma kehidupan berkeluarga.
Sememangnya, integriti sesebuah negara akan terbina apabila institusi kekeluargaan dan masyarakatnya diurus dengan bijak dan saksama. Pengurusan keluarga yang cekap dan berhemah bakal melahirkan integriti keluarga yang kukuh, sejahtera dan berwawasan.[21] Pelbagai aspek pengurusan perlu diambil kira untuk menentukan matlamat yang disasar tercapai antaranya, pengurusan masa dan kewangan (ekonomi). Penyusunan jadual harian yang merangkumi urusan fizikal seperti pekerjaan, persekolahan, kesihatan dan pemakanan perlu dilakukan tanpa mengenepikan urusan kerohanian termasuklah amalan keagamaan dan pendidikan. Malah, penerapan amalan menabung, berjimat cermat dan hemah berbelanja juga dianggap relevan dalam konteks mendidik ahli-ahli keluarga untuk mengurus ekonominya dengan baik di samping menafikan sikap materialistik dan suka kepada jalan mudah seperti mana yang sering dikaitkan dengan isu penyelewengan dan salah guna kuasa. Secara tidak langsung, amalan dan budaya murni tersebut akan melahirkan individu yang berdisiplin dan berjiwa positif. Selain memperolehi jaminan masa hadapan yang terjamin, ia juga membuka ruang kepada ilmu, pengalaman dan penambahbaikkan untuk digunapakai terhadap generasi akan datang.
Budaya Syura[22] yang diamalkan dalam sesebuah keluarga juga amat baik dijadikan mekanisme merapatkan hubungan kekeluargaan. Inisiatif yang dijalinkan melalui proses komunikasi itu juga sebenarnya berupaya menyelesaikan banyak masalah yang wujud. Ia memberi ruang dan peluang bagi ahli keluarga menyelami perasaan, mengenalpasti keperluan dan menilai pandangan yang diutarakan oleh ahli keluarganya yang lain. Secara tidak langsung , amalan mulia tersebut telah menyerapkan unsur-unsur pengiktirafan kepada setiap ahli keluarga yang mana mereka akan merasai dirinya amat penting, dihargai dan mendapat perhatian. Dengan hal demikian, elemen pemberontakan, penentangan dan ketidakpuasan hati dapat dielakkan. Malah, nilai positif akan terus bertambah melalui pelbagai bentuk amalan dan budaya hidup berkeluarga seperti amalan berterima kasih (bersyukur), tolong menolong dan seumpamanya. Maka, disinilah penghayatan Sakinah, Mawaddah dan Rahmah dapat dilihat dari skop yang amat positif.
Penanaman semangat cintakan keluarga dalam konteks "Rumahku Syurgaku'' (Baiti Jannati) adalah rentetan strategi yang perlu dilaksanakan untuk meneruskan agenda pemantapan integriti. Dalam konteks ini, peranan keluarga perlu diperluaskan bukan sekadar memenuhi kehendak material dan perhubungan yang diikat oleh perkahwinan dan keibapaan sahaja. Jika disoroti pelbagai peristiwa keruntuhan rumahtangga seperti perceraian,[23] penderaan kanak-kanak[24], sumbang mahram[25], keganasan rumahtangga[26] dan sebagainya, ia memperlihatkan betapa institusi keluarga bukan lagi menjadi platform yang selamat. Situasi ini berlaku disebabkan oleh peranan keluarga telah dilihat dari skop yang amat sempit sehingga hilangnya nilai-nilai murni yang sepatutnya diserapkan dalam institusi tersebut. Keluarga perlu digerakkan sebagai medium penyelesai masalah dan juga konflik. Ahli keluarga yang berperanan untuk saling lengkap melengkapi perlu juga bertindak sebagai penyokong, motivator, guru, teman dan pelindung kepada ahli keluarga yang lain agar kehidupan berkeluarga menjadi lebih bermakna. Melalui proses ini, elemen integriti dapat diserapkan secara lebih mudah lantaran dari berkembang luasnya peranan sesebuah keluarga.
Sehubungan itu, dalam menjayakan misi pemantapan tersebut, masyarakat boleh memainkan peranan dengan menghidupkan kembali semangat kejiranan yang kian luntur terutamanya di kawasan Bandar. Walaupun jiran tidak termasuk di dalam kelompok keluarga, namun semangat kejiranan mempunyai kaitan rapat dengan semangat kekeluargaan dan berupaya mewujudkan nilai mahabbah (persaudaraan) dan bertanggungjawab di kalangan ahli masyarakat. Jika suatu ketika dahulu jiran dianggap entiti sosial yang sangat penting, maka hakikat tersebut sewajarnya masih relevan untuk masa kini. Di dalam Islam, aspek kejiranan dianggap penting dan hubungan tersebut wajib dijaga kerana bibit permusuhan, perpecahan dan perbalahan boleh timbul daripadanya jika tidak dijaga dengan baik. Dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w pernah menyebut ;
'Jibrail berkali-kali mengingatkan aku (supaya berbuat baik) terhadap jiran sehingga aku merasakan seolah-olah mereka akan mewarisi hartaku." [27]
Dalam konteks berkaitan, segala perkara yang mencemarkan keharmonian dan identiti masyarakat dapat ditegah dengan semangat kejiranan. Gejala sosial dan ancaman keselamatan yang sering menghantui masyarakat di negara ini juga boleh ditangani sekiranya inisiatif kejiranan dimainkan dengan sebaiknya. Malah budaya murni seperti kunjung mengunjung, bertegur sapa, gotong royong dan seumpamanya sesama jiran telah mencerminkan ciri-ciri masyarakat berintegriti. Amalan tegur menegur dan nasihat menasihati dalam konteks membina wajar diterima secara positif dan bukannya prejudis. Secara tidak langsung unsur perpaduan akan terserlah sehingga membentuk satu identiti dan nilai kebersamaan di kalangan rakyat Malaysia.
Lanjutan itu, melalui penggabungan atau penerimaan budaya yang wujud daripada pelbagai bentuk integrasi terutamanya terhadap sosial, pendidikan dan politik, ia mampu menepis segala persepsi negatif terhadap institusi kekeluargaan di negara ini.. Malah ia menjadikan institusi keluarga lebih bermakna dan menarik serta dicintai. Pelbagai integrasi yang dijalinkan tersebut lazimnya akan melahirkan kepelbagaian dasar, pandangan dan persekitaran yang relevan dengan keperluan masyarakat berbilang bangsa tanpa menjejaskan kesucian agama. Nilai-nilai murni yang lahir di kalangan masyarakat yang berbeza latar belakangnya turut mampu memantapkan integriti masyarakat disamping dapat menjayakan konsep "People Centered Development" (kemajuan yang mengutamakan insan). Rentetan daripada semangat kejiranan yang mula tertanam di peringkat keluarga, akhirnya membentuk satu keserasian di kalangan masyarakat. Buktinya, penerapan ideologi kebangsaan melalui penyusunan Rukun Negara, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan penggabungan parti-parti politik[28] diterima dengan baik oleh majoriti masyarakat di negara ini. Daripada kesinambungan tersebut, maka usaha pengukuhan institusi keluarga seperti kempen Utamakan Keluarga-Semakin Hari Semakin Sayang[29], Smart Start[30], penghayatan Modul Keluarga Sakinah[31], Dasar Bina Insan[32] dan sebagainya dapat diteruskan tanpa halangan. Malah, penubuhan Majlis Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di setiap negeri juga membolehkan program pembangunan keluarga dilaksanakan secara bersepadu dari akar umbi melalui sokongan pelbagai pihak.
Penutup
Justeru, dengan pensasaran matlamat berkeluarga yang jelas, maka langkah mengurus akan menjadi lebih mudah. Masyarakat yang berjiwa merdeka dan terdidik untuk mematuhi undang-undang, akan mengamalkan nilai-nilai murni, menggunakan potensinya dengan optimum serta mempamerkan kesetiaan tanpa berbelah bahagi terhadap kelompok yang mereka sertai. Integriti secara umumnya berkaitan dengan harga dan maruah diri yang mendorong kepada penghayatan sifat jujur, amanah, bertanggungjawab, berfikiran positif dan nilai-nilai murni yang lain. Sebaliknya, seseorang yang tidak berintegriti, hanya akan merosakkan masa depannya dan orang lain. Walaupun, penghayatan nilai yang terkandung dalam integriti selayaknya dihayati secara individu , namun institusi keluarga juga mempunyai keutamaan dalam mencorak peribadi seseorang.
Sebuah masyarakat bermula dari sebuah keluarga. Jika mengharapkan masyarakat yang maju dan bertamadun, maka institusi keluarganya dahulu yang perlu diberi tumpuan.Begitu juga halnya dalam melahirkan masyarakat berintegriti, institusi keluarganya terlebih dahulu perlu membentuk potensi yang sedia wujud dalam diri ahlinya ke arah yang lebih positif. Institusi keluarga yang maju bukanlah merujuk kepada kekayaan yang dimiliki tetapi yang memiliki kasih sayang dan perasaan belas antara satu sama lain, serta institusi keluarga yang ahlinya menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam semua keadaan. Walaupun pelbagai bentuk halangan dan cabaran yang datang menggugat matlamat kebahagiaan keluarga, namun ia perlu dilihat secara positif dan usaha ke arah merealisasikan masyarakat berintegriti perlu diteruskan berdasarkan mekanisme kekeluargaan yang sedia ada. Pelbagai strategi dan pelan tindakan yang bertepatan dengan situasi kekeluargaan dan kemasyarakatan kini tidak harus dibiarkan tanpa perlaksanaan agar manfaat yang lahir daripadanya akan dapat dinikmati seluruh warga negara ini.
Usaha kerajaan dalam proses pembangunan institusi keluarga di negara ini seperti mana yang dirangka dalam Rancangan Malaysia Kesembilan menunjukkan petanda baik kepada seluruh masyarakat yang cintakan kesejahteraan dan kebahagiaan. Pelaksanaan program yang memupuk keperibadian dan nilai kekeluargaan yang menyumbang ke arah keutuhan, integriti, kemantapan dan kesepaduan keluarga telah diberi keutamaan dan penekanan yang amat serius.[33] Justeru pelaburan modal insan ini wajar diberi sokongan demi meningkatkan kualiti masyarakat, agama dan negara. Melalui konteks ini, jelaslah betapa institusi keluarga menjadi platform terpenting dalam mencetuskan masyarakat berintegriti dan berkeupayaan membina kecemerlangan dan kegemilangan untuk negara Malaysia.
[1] Penulis adalah Pegawai Khidmat Nasihat Pejabat Agama Daerah Pontian (PAD Pontian, Johor)
[2] Adab al Hayah al Zawjah ,Shaikh Khalid Abdul Rahman, Darul Ma'rifah, Beirut 1998
[3] Pelan Integriti Nasional. Edisi Ringkas, Institut Integriti Malaysia, Kuala Lumpur , 2006
[4] Akhlaq `ind al-Ghazali (Beirut: Al-Maktabah al-`Asriyyah,) Imam Ghazali r.a menjelaskan Akhlak sebagai suatu keadaan yang tertanam di dalam jiwa yang menampilkan perbuatan-perbuatan dengan mudah tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian. Apabila perbuatan yang terkeluar itu baik dan terpuji menurut syara’ dan akal, perbuatan itu dinamakan akhlak yang mulia. Sebaliknya apabila terkeluar perbuatan yang buruk, ia dinamakan akhlak yang buruk
[5] Human Right and Diversity, A.J.M Milne , MacMillan Press Ltd, 1986
[6] http://www.heritage.gov.my
[7] Rujuk Pelan Integrasi Nasional : Integrasi merujuk kepadasuatu proses bagi mewujudkan satu identity nasional di kalangan kumpulan yang terpisah dari segi kebudayaan, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik.
[8] Pribadi, Dr. Hj. Abdul Malik Amrullah (HAMKA), Penerbitan Pustaka Antara, Kuala Lumpur,1967 (hlm 92-93)
[9] Keprihatinan Umat dan tranformasi Sosial (Koleksi Ucapan dasar ABIM), Siddiq Fadzil & Muhd Nur Manuty, ABIM, Kuala Lumpur 2003 (hlm 145)
[10] Riwayat Bukhari dan Muslim
[11] Curriculum Development,Wiles J& Bondi,UpperSaddle River, N.J Columbus (1998)
[12] Riwayat al-Bukhari dan Muslim
[13] Petikan dari Y.A.B Perdana Menteri Malaysia ketika sidang akhbarKempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni pada 11hb Januari 2005, Bertempat Di Istana Budaya, Kuala Lumpur
[14] Utusan Malaysia , Pendidikan era MSC (Selasa), 8 april 1997
[15] The Closing of the American Mind , Allen Bloom
[16] Petikan ucapan Y.A.B Dato' Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi sempena Majlis Pelancaran Kempen Budi Bahasa dan nilai-Nilai Murni di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 11 Januari 2005 , 9.00 pagi.
[17] Petikan Titah ucapan oleh Raja Nazrin Shah di Kongres Pendidikan Melayu ke-2 pada 27 Mac 2005 di Pusat Pencerahan Dan Pengembangan Tamadun KURNIA ILHAM
[18] Al-Tafsir al-Kabir, Imam Fakhr al-Razi, Vol. 25 (t.t) hlm 100
[19] Al-Tafsir al-Quran li al-Quran, Abd. Karim al-Khatib , Vol. 6 , 1980 (hlm 497)
[20] Jamie al-Bayan fi Ta'wil al-Quran, Ibn jarir al-Tabari, Vo. 10 1999 (hlm 176)
[21] Utusan Malaysia, Ruangan Keluarga "Integriti- Bentuk Keluarga Berhemah", 6 September 2005
[22] Syura (istilah yang digunakan dalam al-Quran – Surah asy-Syura: ayat 42 ) adalah amalan berbincang, mesyuarat atau bermuzakarah mengikut adab-adab atau prosedur tertentu yang berfungsi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, pertukaran maklumat, mendengar pandangan sehingga menghasilkan kata putus. Medium terbaik menghubungkan ikatan kekeluargaan, kemasyarakatan, kepimpinan dan pengorganisasian.
[23] Sebanyak 72 616 kes perceraian orang Islam yang didaftarkan dari 2000-2004 (Sumber : JAKIM) dan 285 011 kes perceraian orang bukan Islam didaftarkan dari 2000-2004 (Sumber : Jabatan Pendaftaran Negara)
[24] Sebanyak 816 Kes Penganiayaan kanak-kanak dilaporkan dari 2000 hingga Ogos 2005 : Sumber PDRM dan
6258 kes penderaan yang dilaporkan dari 2000 hingga 2004 : Sumber Jabatan Kebajikan Masyarakat
[25] Sebanyak 1541 Kes Sumbang Mahram dilaporkan dari 2000 hingga Ogos 2005 :Ssumber PDRM
[26] Sebanyak 17074 Kes Keganasan Rumahtangga dilaporkan dari 2000 hingga Ogos 2005 :Ssumber PDRM
[27] Riwayat Bukhari dan Muslim
[28] Penggabungan parti-parti politik dibawah panji Barisan Nasional
[29] Kempen yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
[30] Program kelolaan LPPKN kepada bakal pengantin baru untuk memahami tanggungjawab berkeluarga.
[31] Modul Keluarga Sakinah merupakan panduan kekeluargaan yang lengkap untuk membentuk institusi keluarga berlandaskan ajaran Islam yang diperkenalkan oleh kerajaan Negeri Johor melalui kelolaan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim.
[32] Dasar Bina Insan yang dilaksanakan di Negeri Selangor sejak 2000.
[33] Rujuk Rancangan Malaysia Ke Sembilan (2006-2010)
Sunday, January 10, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment